Wednesday 25 September 2013

Lagi bayi maut di Pusat Asuhan.

Bismillahirrahmanirrahim...

25 September 2013 | Rabu | Presint 9,Putrajaya.

Saya tidak boleh menahan diri dari menulis tentang kes bayi meninggal di Pusat Asuhan. Kali ini berlaku di Presint 9, Putrajaya. Minggu lalu di entri saya masih segar dengan kes anak meninggal di Pusat Asuhan.

Bayi malang kali ini adalah Muhammad Danish Raykal. Berumur 5 bulan. Paling di kesalkan apabila Ibu dan bapa mangsa hanya di beritahu melalui mesej di akaun Facebook. Berita penuh baca di sini.



Saya ingin mempersoalkan kredibiliti Pusat Asuhan tersebut. Pihak ibu bapa membayar amaun yang banyak untuk kalian menjalankan amanah. Teman-teman saya di Putrajaya memaklumkan bahawa yuran untuk Pusat Asuhan di Putrajaya sekitar RM 280-300 untuk seorang. Dan nisbahnya adalah 1 pengasuh akan menjaga 3 bayi. Pihak Pusat Asuhan juga khabarnya tidak membenarkan ibu bapa melawat ketika waktu bekerja, atas sebab privasi.

Pendapat saya adalah hak Ibu Bapa untuk melihat sendiri kondisi anak mereka di Pusat Asuhan. Tidak ada yang salah bukan?

Saya kecewa dan sedih serta marah dengan tragedi demi tragedi anak meninggal di Pusat Asuhan. Isu ini memalit arang kepada Pusat Asuhan yang lain.

Perlu siasatan dan kajian terperinci terhadap persekitaran, dan pengasuh di Pusat Asuhan.

Namun, bukan semua Pusat Asuhan mengambil mudah. Mereka bahkan menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab. Tetapi apa yang di kesalkan adalah sikap ambil mudah atau take for granted sesetengah Pusat Asuhan.

Kebanyakan kes pula berlaku di mana ibu bapa hanya di maklumkan mengenai keadaan anak selepas meninggal dunia. Atau juga ibu bapa hanya menyedari keadaan anak mereka selepas mengambil mereka di Pusat Asuhan. Apabila di tanya, jawapan standard pihak Pusat Asuhan pula, "Tak Tahu." Semudah itu???

Saya seorang ibu. Saya punya hati. Saya rasa kasihkan anak. Ibu bapa yang lain juga begitu. Bagaimanalah perasaan seorang ibu dan bapa apabila di maklumkan anak sudah meninggal dunia, ATAU ketika mengambil anak, wajah anak kebiruan dan sudah pun terkulai.

Ibu bapa tidak punya pilihan lalu terpaksa menghantar anak ke Pusat Asuhan. Dengan harapan dan amanah yang tinggi.

Saya bersimpati dengan keluarga bayi malang ini. Berikan lah kesabaran kepada keluarganya. Tempatkan lah Muhammad Danish Raykal di tempat yang mulia.

Ameen ya rabbal 'alameen.

Al Fatihah.





No comments:

Post a Comment