Friday 23 August 2013

Pelajar Tahfiz kutip derma.

Bismillahirrahmanirrahim...

sumber gambar: google

Saya terpanggil berkongsi kisah di sebalik resit ini.

Saya percaya rakyat Kedah khususnya sangat familiar dengan resit ini bukan? 

Pelajar tahfiz di jadikan bahan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan. 

Saya beberapa kali pernah di datangi pelajar-pelajar tahfiz amal. Mereka ini berada di premis-premis peniagaan, stesen minyak, tempat letak kereta dan restoran-restoran serta bank-bank. Ada juga beberapa ketika mereka meluaskan kegiatan sehingga ke taman perumahan.

Saya sentiasa kasihan. Terlalu mudah memberi. Saya mengira bersedekah lah. Soal mereka menipu atau tidak, urusan mereka dengan ALLAH. Prinsip itu sudah lama saya pegang.

Sejak berkahwin, Encik Suami selalu mengingatkan agar jangan terlalu mudah memberi. Banyak sindiket. Saya membalas bahawa itu urusan mereka dengan ALLAH. Saya nak kan pahala bersedekah.

Tetapi beberapa bulan kemudian, saya terpandang berita tentang sindiket peminta sedekah dengan menggunakan logo JAIS, JAWI dan sebagainya. Menteri yang berkaitan menasihatkan rakyat agar lebih berhati-hati.

Saya memikir sejenak.

Pada suatu petang,satu kisah berlaku di deretan premis peniagaan sekitar Alor Setar...

Kami di sapa seorang budak lelaki lingkungan umur 10 tahun.

"Derma kak." kata nya. Langkah kami tiba-tiba terhenti.
"Adik dari mana ni?" Saya bertanya.
"Pusat Tahfiz Amal."
"Di mana?" 
"Aloq Setaq" jawabnya.

Saya berpeluang menyiasat hari ini. Tidak pemurah seperti selalu.

"Ustaz tahu ke duk kutip derma ni?" Saya masih menyiasat.
"Ustaz suruh."
"Ustaz duk di mana sekarang ni?"
"Ada. Kutip derma juga."
"Mana ustaz? Kak nak jumpa." Adik itu tunduk. Muka nya berubah.
"Tak tau. Ustaz kutip tempat lain."
"Dik, dah hafal banyak mana surah dalam al-Quran?" Saya terus-terusan bertanya.
"Kak tak mau beli, tak mau derma  takpa (tidak mengapa)". Adik itu pantas ingin berlalu.

Saya memanggil.

"Adik! Nah, ambil lah duit ni. Buat makan. Jangan bagi ustaz."
Adik itu mengambil duit dan beredar dengan segera. Terburu-buru.

Saya mengambil iktibar. Bukan tidak mahu memberi. Tetapi saya tidak ingin pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak. Meragut masa persekolahan dan masa bermain mereka. Bersenang lenang atas kesengsaraan dan kesusahan orang lain.

Saya akan memberi dengan hati yang yakin bahawa saya tidak di tipu. 

Bahkan yang lebih kasihan apabila mereka memanipulasi kanak-kanak. Kejam!

Biarlah saya bersedekah kepada adik-adik yang teraniaya ini untuk keperluan makan mereka.

Tunggulah balasan ALLAH atas perbuatan jahat kalian!

Wassalam.




No comments:

Post a Comment