Sehari sebelum 1 Syawal yang baru lalu, saya, Encik Suami dan anakanda masih sempat bersesak ke Pekan Rabu. Tujuan hanya ingin membeli sehelai tudung untuk Hari Raya. Yang sepadan dengan baju.
Bersemangat hanya kerana sehelai tudung!
Jam sudah pun jam 6. Saya hanya ada setengah jam, kata suami.
Encik Suami parking kereta agak jauh dari tempat yang ingin kami tuju. Lalu, kami memutuskan untuk berjalan sedikit jauh. Tidak mengapalah asal tercapai hajat membeli tudung!
Belumpun sampai 10 langkah perjalanan, saya nampak 2 orang lelaki Melayu warga emas. Duduk berasingan. Berkopiah sedikit kotor dan lusuh pakaian mereka. Kasihan!
Tangan mereka pantas di angkat tanda menadah memohon sedikit derma barangkali. Di sisi mereka saya sempat menjeling ada guni berisi sedikit beras. Dan beberapa peket tisu berharga 20 sen.
Tetapi entah mengapa saya memilih untuk tidak berhenti. Kami berjalan terus menuju ke destinasi. Saya hanya memikirkan 30 minit yang ada untuk memilih dan membeli.
Warga kota dan Alor Setar memenuhi segenap ruang bazaar dan Pekan Rabu. Last minit untuk shopping!
Saya adalah kalangan mereka. Encik Suami paling tidak suka suasana sesak ini.
Akhirnya tudung yang di idamkan telahpun ketemu.
Tak sampai 30 minit pun!
Kami bergegas untuk pulang. Mengejar masa berbuka.
Sekali lagi, kami melintasi 2 orang pakcik tadi.
Rasa bersalah tadi menyentap, lantas saya mengeluarkan 2 keping nota berwarna merah. Seorang setiap satu.
"Pakcik duk di mana?" Sempat saya menyapa.
"Mana-mana ja."
"Pakcik buat beli makan ya sat lagi." Pakcik mengangguk sambil tersenyum.
Pakcik yang seorang lagi saya hanya berikan duit tanpa sempat menyapa.
Kelihatan beliau cuba mengopek buah durian dengan sekaki payung! Barangkali ada insan prihatin yang sudi bersedekah buah durian itu. Dan pakcik sungguh teringin berbuka dengan buah durian.
Kami berlalu.
"Pakcik-pakcik ni mesti berbuka di Masjid Zahir. Ramai yang macam pakcik itu di Masjid Zahir. Kadang-kadang mereka tidur di situ juga." Encik Suami menerangkan ketika tangan sibuk menghidupkan kereta.
"Kesian. Tak ada keluarga kot." Saya benar-benar simpati.
Rezeki saya belum tentu sepenuhnya milik saya. Milik peniaga tudung sebentar tadi. Milik 2 orang pakcik juga. Dan untuk hari-hari seterusnya mungkin ada lagi milik insan lain.
Saya bersyukur.
Tidak boleh memberi banyak bukan bermakna tidak boleh memberi langsung.
Kita beri ALLAH pasti ganti.
Itu janji.
Saya berazam untuk jadi insan yang berharta untuk membantu.
Minta ALLAH mudahkan.
Lebih-lebih lagi saya ingin berusaha menjadi insan bertaqwa.
Minta ALLAH mudahkan.
Agar sentiasa kasihan.
Agar sentiasa kasih.
Agar sentiasa memberi.
Islam perlukan ummat yang patuh dan ekonomi yang kukuh!
Wallahua'lam.
No comments:
Post a Comment