Friday 23 August 2013

Pelajar Tahfiz kutip derma.

Bismillahirrahmanirrahim...

sumber gambar: google

Saya terpanggil berkongsi kisah di sebalik resit ini.

Saya percaya rakyat Kedah khususnya sangat familiar dengan resit ini bukan? 

Pelajar tahfiz di jadikan bahan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengaut keuntungan. 

Saya beberapa kali pernah di datangi pelajar-pelajar tahfiz amal. Mereka ini berada di premis-premis peniagaan, stesen minyak, tempat letak kereta dan restoran-restoran serta bank-bank. Ada juga beberapa ketika mereka meluaskan kegiatan sehingga ke taman perumahan.

Saya sentiasa kasihan. Terlalu mudah memberi. Saya mengira bersedekah lah. Soal mereka menipu atau tidak, urusan mereka dengan ALLAH. Prinsip itu sudah lama saya pegang.

Sejak berkahwin, Encik Suami selalu mengingatkan agar jangan terlalu mudah memberi. Banyak sindiket. Saya membalas bahawa itu urusan mereka dengan ALLAH. Saya nak kan pahala bersedekah.

Tetapi beberapa bulan kemudian, saya terpandang berita tentang sindiket peminta sedekah dengan menggunakan logo JAIS, JAWI dan sebagainya. Menteri yang berkaitan menasihatkan rakyat agar lebih berhati-hati.

Saya memikir sejenak.

Pada suatu petang,satu kisah berlaku di deretan premis peniagaan sekitar Alor Setar...

Kami di sapa seorang budak lelaki lingkungan umur 10 tahun.

"Derma kak." kata nya. Langkah kami tiba-tiba terhenti.
"Adik dari mana ni?" Saya bertanya.
"Pusat Tahfiz Amal."
"Di mana?" 
"Aloq Setaq" jawabnya.

Saya berpeluang menyiasat hari ini. Tidak pemurah seperti selalu.

"Ustaz tahu ke duk kutip derma ni?" Saya masih menyiasat.
"Ustaz suruh."
"Ustaz duk di mana sekarang ni?"
"Ada. Kutip derma juga."
"Mana ustaz? Kak nak jumpa." Adik itu tunduk. Muka nya berubah.
"Tak tau. Ustaz kutip tempat lain."
"Dik, dah hafal banyak mana surah dalam al-Quran?" Saya terus-terusan bertanya.
"Kak tak mau beli, tak mau derma  takpa (tidak mengapa)". Adik itu pantas ingin berlalu.

Saya memanggil.

"Adik! Nah, ambil lah duit ni. Buat makan. Jangan bagi ustaz."
Adik itu mengambil duit dan beredar dengan segera. Terburu-buru.

Saya mengambil iktibar. Bukan tidak mahu memberi. Tetapi saya tidak ingin pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak. Meragut masa persekolahan dan masa bermain mereka. Bersenang lenang atas kesengsaraan dan kesusahan orang lain.

Saya akan memberi dengan hati yang yakin bahawa saya tidak di tipu. 

Bahkan yang lebih kasihan apabila mereka memanipulasi kanak-kanak. Kejam!

Biarlah saya bersedekah kepada adik-adik yang teraniaya ini untuk keperluan makan mereka.

Tunggulah balasan ALLAH atas perbuatan jahat kalian!

Wassalam.




Wednesday 21 August 2013

Nasi Himpit | Rendang Ayam | Serunding Daging.

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.


Saya cuba yang terbaik memenuhi permintaan Encik Suami untuk menyediakan juadah bersempena Jamuan Aidil Fitri di tempat kerja beliau. 

Encik Suami meminta saya sediakan menu nasi himpit dan rendang ayam. 

Untuk 40 orang katanya. Gelabah juga. Ramai tu kan? Lagi satu, Encik Suami minta lebihkan kuahnya. Biasa kami makan bertiga sahaja. Tetapi dengan sedikit pengalaman memasak untuk kawan-kawan dan keluarga besar saya di kampung, saya cuba untuk confident

Sebelum ini saya ada menyediakan rendang ayam untuk majlis berbuka puasa keluarga mertua. Dapat respon baik dari saudara mara. Sebab itu barangkali saya ada tahap keyakinan yang sedikit tinggi. Terima kasih Encik Suami atas kepercayaannya ya! 

Nasi himpit pula beli yang peket-peket tu sahaja. Tinggal untuk di rebus sahaja lagi. Mudah kan? Jadi saya rasakan jangan terlalu banyak beralasan untuk tidak memasak jika punya kelapangan waktu.

Di samping nasi himpit dan rendang ayam, saya berikan sekali serunding daging untuk di bawa bersama. Promotion tu! WS Serunding Kelantan : Serunding asli Kampung Laut, Kelantan. Saya ada menjualnya. Rasanya sangat sedap. Sedikit manis dan pedas. Serunding ini memang popular. Ada tiga jenis serunding : Serunding ayam, daging dan ikan. Boleh cuba nanti ya!

Ini sahaja untuk entri kali ini. Saya sertakan gambar-gambar masakan saya hari ini.

Terima kasih.








                                          



Tuesday 20 August 2013

Belum saatnya pergi...

4 pagi.
16 Rejab.

Samar-samar lampu belajar menyilau pandangan. Aku tersedar tatkala jam berbunyi sedikit kuat. Lain benar pagi ini. Sakit yang biasanya 'menyerang' setiap pagi. Tetapi tidak hari ini.

Alhamdulillah!

Aku sedikit gembira. Aku bertekad untuk qiyamullail. Siapa tahu ini qiyamullail terakhirku?

Aroma minyak habbatus sauda' menusuk hidung. Aku menyapu dan mengurut sedikit di telapak kaki. Mengurang kan sejuk di kaki. Begitulah setiap pagi. Tidak hairan lah bau ini menguasai bilik kami.

Menoleh teman sebilik yang setia, Nur Sarah yang masih lena. Letih barangkali. Sibuk ke kuliah sambil mengurus keperluanku. Syurga buatmu sahabat, ku doakan.

Perlahan-lahan aku bangkit dari tilam. Cuba untuk sehingga tidak menyedarkan Sarah. Biarlah dia lena sepuasnya. Teman-teman lain yang tujuh orang kesemuanya malam itu nyata terlalu lelah dengan rutin pengajian mereka seharian. Mereka juga enak tidur. Aku tidak ingin ada pergerankanku yang bisa mengejutkan mereka. Semuanya perlahan.

Maaf teman andai aku ini beban.
Syurga ku doakan buatmu teman-teman.

Aku mencapai tuala kecil. Dan berjalan perlahan ke arah pintu bilik. Ingin ke bilik air.

Berjaya keluar dari bilik dengan bunyian yang minimum. Aku menutup pintu. Berjalan perlahan seadanya. Kudrat sedikit ini aku manfaatkan sepenuhnya. Sunyi dan nyaman pagi itu. Penghuni asrama sedang enak menikmati 'mati sementara' ini.

Ketika air wudhu' menyimbah wajah, aku sayu. ALLAH itu Maha Baik. Aku masih punya waktu untuk ini. MenghadapMu. Engkau mengurangkan kesakitanku wahai ALLAH.

Selesai berwudhu', aku keluar dari bilik air.

Tiba-tiba...
Aku dapat merasakan tolakan amat keras dari belakang. Sakit! Hanya Dia yang Tahu.

ALLAH!...
Aku jatuh sambil tangan kiriku sempat berpaut pada tong sampah. Aku gagahkan hati dan diri.

ALLAH!
....

Aku hanya ingin bersujud.

Aku cuba bangun. Tetapi tidak mampu. Lututku longlai.

"Ada sesiapa di sini??" Hatiku menjerit. Air mata berjujuran. Pinggang aku sakit! Sakit yang sangat. Seperti di tikam-tikam.
"Tolonglah sesiapa lalu di sini..."
Aku hanya ingin bangun dan berjalan.

Argghhh...

Aku gagahkan diri dengan juraian air mata. Sakitnya!
Paling sakit yang pernah aku rasa.

ALLAH...

Adakah ini saatnya aku pergi...?

Mengengsot pulang ke bilik yang hanya 6 langkah sahaja. Jauh benar rasanya. Aku buat perlahan-lahan.
Sampai sahaja di hadapan pintu bilik, aku menangis semahunya. Aku tidak berjaya mencapai tombol pintu. Pinggang ku pedih. Tidak boleh berdiri.

ALLAH tolong aku!

Aku mencuba beberapa kali. Entah kali yang ke berapa aku boleh memulas sedikit tombol dan pintu terkuak sedikit. Aku mengengsot masuk dengan mata berkaca.

Badanku semakin lemah dan pandanganku kian kabur.....








Rezeki kita belum tentu milik kita.

Bismillahirrahmanirrahim...



Sehari sebelum 1 Syawal yang baru lalu, saya, Encik Suami dan anakanda masih sempat bersesak ke Pekan Rabu. Tujuan hanya ingin membeli sehelai tudung untuk Hari Raya. Yang sepadan dengan baju.

Bersemangat hanya kerana sehelai tudung!

Jam sudah pun jam 6. Saya hanya ada setengah jam, kata suami.

Encik Suami parking kereta agak jauh dari tempat yang ingin kami tuju. Lalu, kami memutuskan untuk berjalan sedikit jauh. Tidak mengapalah asal tercapai hajat membeli tudung!

Belumpun sampai 10 langkah perjalanan, saya nampak 2 orang lelaki Melayu warga emas. Duduk berasingan. Berkopiah sedikit kotor dan lusuh pakaian mereka. Kasihan!

Tangan mereka pantas di angkat tanda menadah memohon sedikit derma barangkali. Di sisi mereka saya sempat menjeling ada guni berisi sedikit beras. Dan beberapa peket tisu berharga 20 sen.

Tetapi entah mengapa saya memilih untuk tidak berhenti. Kami berjalan terus menuju ke destinasi. Saya hanya memikirkan 30 minit yang ada untuk memilih dan membeli.

Warga kota dan Alor Setar memenuhi segenap ruang bazaar dan Pekan Rabu. Last minit untuk shopping!
Saya adalah kalangan mereka. Encik Suami paling tidak suka suasana sesak ini.

Akhirnya tudung yang di idamkan telahpun ketemu.

Tak sampai 30 minit pun!
Kami bergegas untuk pulang. Mengejar masa berbuka.

Sekali lagi, kami melintasi 2 orang pakcik tadi.
Rasa bersalah tadi menyentap, lantas saya mengeluarkan 2 keping nota berwarna merah. Seorang setiap satu.

"Pakcik duk di mana?" Sempat saya menyapa.
"Mana-mana ja."
"Pakcik buat beli makan ya sat lagi." Pakcik mengangguk sambil tersenyum.

Pakcik yang seorang lagi saya hanya berikan duit tanpa sempat menyapa.
Kelihatan beliau cuba mengopek buah durian dengan sekaki payung! Barangkali ada insan prihatin yang sudi bersedekah buah durian itu. Dan pakcik sungguh teringin berbuka dengan buah durian.

Kami berlalu.

"Pakcik-pakcik ni mesti berbuka di Masjid Zahir. Ramai yang macam pakcik itu di Masjid Zahir. Kadang-kadang mereka tidur di situ juga." Encik Suami menerangkan ketika tangan sibuk menghidupkan kereta.

"Kesian. Tak ada keluarga kot." Saya benar-benar simpati.

Rezeki saya belum tentu sepenuhnya milik saya. Milik peniaga tudung sebentar tadi. Milik 2 orang pakcik juga. Dan untuk hari-hari seterusnya mungkin ada lagi milik insan lain.

Saya bersyukur.
Tidak boleh memberi banyak bukan bermakna tidak boleh memberi langsung.

Kita beri ALLAH pasti ganti.
Itu janji.

Saya berazam untuk jadi insan yang berharta untuk membantu.
Minta ALLAH mudahkan.

Lebih-lebih lagi saya ingin berusaha menjadi insan bertaqwa.
Minta ALLAH mudahkan.

Agar sentiasa kasihan.
Agar sentiasa kasih.
Agar sentiasa memberi.

Islam perlukan ummat yang patuh dan ekonomi yang kukuh!

Wallahua'lam.






Sunday 18 August 2013

Adakah bala atau peringatan?





Bismillahirrahmanirrahim..

Hari ini.
Kejadian bunuh dan tembak seakan cerita hiburan sahaja. Update setiap hari. Terkini dan panas!
Kes dera dan buang bayi juga begitu. Tidak lupa kes culik.

Kebejatan sosial usah di kata!

Dahulu.
Jarang-jarang sekali kita dengar kejadian bunuh apatah lagi tembak menembak. Terlalu asing jika ada mangsa di tembak. Dera dan buang bayi pun begitu.

Maruah keluarga cuba di pelihara baik oleh anak-anak.

Di mana kemanusiaan?

Dalam tempoh sebulan ini sahaja lebih 10 kematian bunuh, rompak dan tembak di laporkan.
Belumpun reda rasa marah dan sedih atas kejadian bunuh semalam, hari ini timbul pula kes baru.

Tiga hari lepas, seorang isteri di belasah oleh suami di dalam lif. Malah di hadapan anak-anak!
Sehari selepas itu pula seorang kanak-kanak 7 tahun di sembelih hidup-hidup oleh bapa kandung yang taksub ajaran sesat.
Di tambah lagi kes dera kanak-kanak yang di beritakan semalam.

Hanya menyebut beberapa kes sahaja.

Oh Malaysia ku!

Sindrom takut dan bimbang mula menular di kalangan masyarakat.

Takut menjadi mangsa.
Bimbang keselamatan diri dan keluarga.

Adakah ini semua bala dan peringatan dari ALLAH?

Saat maksiat seakan jadi makanan lazat, ALLAH timpakan bala sebagai tanda ingat.
Tika kita hanyut leka dengan mewahnya dunia, ALLAH ingin memberi 'ingat' bahawa dunia bukan lah segala.

Alhamdulillah.
Malaysia jauh dari ujian bencana alam yang menakutkan.

Tetapi..
Membarahnya jenayah dalam masyarakat bahkan adalah ujian lebih dahsyat! Bila tiada kemanusiaan, bagaimana ingin membina tamadun dan generasi yang hebat?

Kini kereta peronda polis boleh di lihat di mana-mana. Polis mula turun ke lapangan.
Ini satu langkah yang bijak.
Sepatutnya sudah lama begini.
Tahniah pihak keselamatan.

Namun, tiada apa yang lebih penting melainkan mendidik dan melahirkan masyarakat dengan ilmu dan agama.
Dekat kan anak muda dengan ISLAM. Mengenal ALLAH dan Rasul.

Di saat kamu berpegang pada ALLAH, kamu kira ALLAH akan melepaskan tanganmu? Tentu sekali TIDAK!

Beringatlah!
Kerana kita lah sebenarnya yang mengundang bala.

Bersabarlah!
Kerana sabar itu indah.

Wallahua'lam.





Pilihan dan Tiada Pilihan.






Pagi menginjak ke tengahari, saya dan anakanda Insyirah berbisnes di Ukir Mall. Begitu lah rutin kami saban minggu. Kadang terasa letihnya. Tetapi saya tetap GEMBIRA! 


Berniaga adalah pilihan saya. Saya seronok dan redha dengan pilihan ini. Bila seronok, kita ada passion untuk terus istiqamah! 
Anakanda juga sudah mula menunjukkan minat mendalam dalam perniagaan. Paling best katanya, "Ibu, untung tak hari ni?" 

Hari ini, saya di pertemukan dengan seorang kakak. Anak beliau 2 orang. Lelaki dan perempuan. Sangat iras pak sheikh Arab! Hensem dan ohsem  Anak-anak beliau tidak betah duduk diam. Berlari saje. Kakak tersebut pula nampak sedikit kelam kabut, melayan pelanggan yang masih membeli, walaupun peniaga lain sudah ramai yang mengangkat kaki pulang. Saya memerhati penuh minat.

Sesudah mnengemas barang-barang niaga saya, saya sekadar memberi salam dan menyapa, "kak". Beliau tersenyum, kemudian membalas, "Dik, tunggu sat na.Jangan balik lagi na!" Saya cuma mengangguk. Encik suami sedikit lambat hari ni.

"Dik, ada bisnes kad? Boleh minta satu?".Pinta beliau.
"Oh boleh kak. Saya ambil ye." Saya menyerahkan sekeping kad.

"Mimi dah lama meniaga?"
"Baru 6 bulan kak."
"Kak takdak pilihan. Kena meniaga jugak."
"Boleh tahu, kenapa kak?"
"Suami kak, orang Arab, meninggal. 3 tahun dah. Masa anak kak hak nombor dua ni umoq 4 bulan. Sakit kanser. Kak ibu tunggal. Kena buat jugak lah apa pun. Nak bagi anak sekolah. Susah jugak. Banyak tak reti. Dulu bawak keta tak pandai. Nak buat bisnes internet, kak tak tahu langsung. Ni yang kena keluaq meniaga jugak. Kalau tahu mana-mana program boleh meniaga, habaq na. Kak tak kenai oghang sangat. Ni macam mati hidup smula."

Panjang omelannya. Saya cuba memahami kepayahan beliau. ALLAH memilih beliau kerana beliau mampu. Kerana beliau istimewa.

"In sha ALLAH kak. Yang mana mimi tahu, mimi bagitahu na."
"Terima kasih Mimi." Satu pelukan kasih sayang di berikan kepada saya. Lama.

Saya yakin beliau akan berjaya menjadi ibu yang hebat buat permata hati beliau. Beliau akan berjaya dalam perniagaan. Beliau akan ada kehidupan yang baik. Dengan izin ALLAH.

Pilihan dan tiada pilihan. Itu sudah sunnah dunia.
Pilihan saya perniagaan.
Sedangkan beliau tidak.

Tidak semestinya kita yang melakukan sesuatu dengan pilihan kita sendiri akan lebih berjaya daripada mereka yang tidak ada pilihan dengan apa yang mereka usahakan sekarang.

Hargai hidup.
Hargai pilihan.
Hargai mereka di sekeliling kita.

Terima kasih ALLAH! 

Apa Itu R4BIA?






Mungkin ada di antara kita yang masih tertanya-tanya kenapa ramai pengguna media sosial seluruh dunia mula menukar avatar simbol 4 jari seperti di bawah dan mula menggunakan hashtag ‪#‎R4BIA‬bermula semalam, bukan?

1. Dalam bahasa Arab, Rabi'ah/arba'ah bermaksud Empat. Rab'ah (angka 4) dijadikan sebagai simbol keteguhan, kekuatan, perlawanan dan persatuan untuk seluruh dunia yang mencintai kebebasan.

2. Simbol 4 jari sebagai simbol untuk mengenang markas demonstran Pro Mursi di Rabi'ah yang telah dihancurkan oleh tentera junta. Simbol 4 jari untuk menunjuk ikon Rabi'ah.

3. Simbol 4 jari ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Turki, Recep Tayip Erdogan mulai Sabtu semalam (17 Ogos 2013) setelah mengecam keras pembantaian yang dilakukan tentera junta Mesir yang terjadi pada hari Jumat dan Sabtu di Ramses Square dan Masjid Fatih yang dikepung tentera junta.

4. Tujuan avatar simbol #R4BIA dipakai oleh penyokong Morsi/Mesir di media sosial seperti facebook dan twitter sebagai bentuk solidariti dan kepedulian terhadap apa yang berlaku di Mesir. Selain menimbulkan kesedaran orang ramai supaya lebih cakna mengenai krisis di Mesir sekarang ini.

*Ayuh pengguna Facebook, Jadikannya Ianya DP Tanda Kita Solidariti Buat Morsi & Rakyat Mesir!!!

Saturday 17 August 2013

Poligami | Pelik?


Bismillahirrahmanirrahim.




Semenjak Ust Azhar Idrus berkahwin kali ketiga, maka ada suara-suara kurang senang. Entah kenapa ya?

Ingin berkongsi. Saya ada kisah seseorang yang saya kenal. Semenjak 3 tahun. Beliau adalah isteri pertama. 

Ini mungkin antara poligami yang baik. Apa yang cuba Ustaz Azhar lakukan. Saya yakin.

Kisahnya begini..
Si suami ini memilih berpoligami lebih 10 tahun yang sudah. Dengan jiran sekampung, yang bertentangan rumah ibu nya. Si suami meminta kebenaran isteri pertama. Isteri pertama mengizinkan. Malah menghadiri perkahwinan kedua suaminya.

Di takdirkan ALLAH, isteri pertama baru selesai tempoh pantang, maka isteri kedua pula selamat melahirkan anak sulungnya. Isteri pertama dengan rela hati menjaga dan mengasuh anak tiri beliau sehingga lah sekarang. Memandangkan madu beliau wanita bekerjaya. Sementara beliau adalah suri rumah sepenuh masa. Jadi hati yang penuh ikhlas dan redha isteri pertama ini menjaga 2 orang anak madu nya dengan kasih dan sayang.

Sekarang..
Isteri pertama tersebut masih lagi setia menuai pahala menjaga anak tiri beliau. Biasanya setelah pulang sekolah, 2 orang anak itu akan tinggal di rumah mak tiri mereka. Elok bermain-main antara kesemua 8 orang anak-anak itu. Si ayah tanpa penat senantiasa dengan tugas mencari rezeki.

Kata isteri pertama yang saya kenal. "Suami kita bukan hak kita. Kalau dia nak kahwin lagi, perempuan tu pun elok, kita redha saja lah. Yang penting, suami sedaya upaya adil. Sana dapat beras, sini dapat beras. Sana dapat baju, sini dapat baju. Kalau duk ikut sedih, tak dak keja bulih buat. Setakat ni suami pun baik. Takdak ragam. Orang kalau buleh, semua nak kata."

Indah kan jika kita ada hati yang senantiasa berfikir baik. Punya hati dan jiwa yang besar. Apatah lagi mulia.

Poligami jadi cacamerba bila orang yang melaksanakan poligami itu tidak beres agamanya. Berkahwin hanya atas dasar nafsu.

Sedangkan manusia pula susah memahami. Dan payah berbaik sangka.


Kekadang kita terlalu 'rajin' menilai dan ambil tahu. Biarkan mereka mengatur hidup mereka sesuai aturan ALLAH.
Alangkah baik jika doa yang baik kita kirimkan buat mereka.

Ini sekadar pandangan biasa saya.
Melalui pengamatan masyarakat di sekeliling saya.

Wallahua'lam.

Ceritera Cendol.

Bismillahirrahmanirrahim..

Aidilfitri kesempatan terbaik berkumpul. Saat terbaik mengadakan kenduri. Baik kenduri kahwin mahupun kenduri aqiqah atau  kesyukuran. 

Di sini, di kenduri kendara tempat bertemu. Timbul pelbagai cerita.



Cerita cendol?
Kisah benar dari seorang penjual Cendol. 
Walaupun saya bukanlah penggemar cendol, tetapi kisah pakcik Cendol ini benar-benar mencetus inspirasi.

Kisahnya berlaku sebentar tadi.

Encik Suami berkunjung ke suatu tempat kenduri. Di takdir pula semeja dengan seorang pakcik yang kelihatannya biasa-biasa saja. Tetapi kerjayanya luar biasa.

Pakcik ini berniaga cendol sudah 21 tahun.
Punya 4 buah rumah.
Memiliki 4 buah kenderaan.

Berkunjung ke tempat kenduri hanya bermotosikal sahaja.
"Senang. Tak sibuk." katanya.
"Dengan berniaga cendoi ni lah pakcik beli rumah kat anak." Sambung beliau penuh semangat.

"Sale hari-hari macam mana pakcik?" Encik Suami cuba mengorek rahsia.
"Sehari RM 1,500. Untung RM 500. Berniaga 6 hari. Sebulan dapat lah RM 12,000."

Wah!
Mendengar cerita Encik Suami membuatkan saya terkesima. Terkejut. Terinspirasi!

21 tahun. Lama tempoh itu.
Membina legasi perniagaan.  

"Dengan berniaga sesiapa sahaja boleh jadi jutawan." Mama saya pernah berkata.
Benar. Amat tepat sekali.

Jangan menilai kerjaya.
Nilai lah usaha mereka.
Nescaya sesiapa boleh berjaya.
Beriringan dengan taqwa.

Saya ingin mengumpul cerita inspirasi.
Saya ingin menjejak contoh bistari.
Untuk menjadi Khadijah Masa Kini.





Friday 16 August 2013

Aidilfitri 1434 H/2013 M.




Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah thumma alhamdulillah. 
ALLAHU AKBAR. 
ALLAHU AKBAR. 
ALLAHU AKBAR.

Syukur dan gembira atas nikmat Ramadhan dan Syawal.
Ramadhan tetap di rindui, Syawal di rai.

Kedah-Kelantan-Terengganu.

1 Syawal kali ini di Kedah. Bersama keluarga mertua. Berpeluang ziarah saudara yang tidak pernah ketemu. Ada kelahiran baru juga. Tahniah buat sepupu, Kakak Syahirah atas kelahiran cahayamata. Keceriaan berganda!

2 Syawal sudah berada di Kelantan. Meraikan Aidilfitri. Sanak saudara bertamu di rumah. Seronok!

3 Syawal pula bekerja. Untuk Mama Tok Catering  tempahan Kenduri Kahwin. ALHAMDULILLAH. Rezeki dari ALLAH.

4 Syawal menuju ke Terengganu. Bercuti 2 hari bersama keluarga di Bukit Kluang. ALHAMDULILLAH. Rasanya sudah lama tidak berpeluang bercuti bersama. ALLAH jua yang melapangkan rezeki dan waktu. ALHAMDULILLAH!

6 Syawal pulang semula ke Kedah. Meneruskan rutin harian seperti sediakala..

Benar Syawal ruang waktu terbaik menjalin silaturrahim.
Syukur tak terhingga atas segala nikmat kurniaan ALLAH.

Syawal kali ini juga tanpa Arwah Tok Aisyah dan Atok Jusoh yang sudah 'pulang' menemui Yang Maha Esa. Al Fatihah dan rindu buat mereka.

Bawalah 'roh' Ramadhan dalam 11 bulan mendatang ini.

Kullu 'am wa antum bikhair.
SALAM AIDIL FITRI.
Mohon Maaf atas segala silap kata dan laku dari kami sekeluarga.


penamimi.blogspot.com

Mesir Berdarah.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum.

Lahirnya penamimi.blogspot ini saat Mesir kian parah. Waktunya Mesir Berdarah.
Justeru, saya memilih Mesir sebagai entri pertama.

Bagaimana ingin membantu?
Untuk ke sana, jauh sekali rasanya. Hampir mustahil. Rasa lemah dan gundah. Terlebih lagi adalah rasa bersalah.

Maafkan kami wahai saudaraku di Mesir. Ke medan Raba'ah kami tidak mampu.
Kami sampaikan Qunut Nazilah buat kalian. Moga kalian di anugerah kekuatan. Kami sedar syahid impian kalian. Kami di sini mendoakan.



Sampaikan sokongan, dokongan kita dengan menyertai himpunan ini.

Kemanusian melangkaui kepartaian. Bersepakat dalam bermunajat. Sesungguhnya ALLAH itu Maha Dekat.

ALLAH Maha Tahu apa mahunya kamu.

Wasssalam.

Assalamualaikum.

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah thumma Alhamdulillah.

Akhirnya...

Saya berjaya melawan perasaan ragu dan risau. Memecah tembok malu.

Ragu dengan kemampuan.
Risau dengan 'expectation'.
Malu dengan hasil.

Pena ini menulis kerana minat dan keinginan yang tinggi dalam bidang penulisan. Saya bukan lah ahli tetapi saya ada minat. Minat yang TINGGI.

Biar saya seorang yang membaca sekalipun, saya puas.

Kepada yang sudi membaca,
TERIMA KASIH | SYUKRAN | THANK YOU.

Semoga tulisan di sini adalah ibadah membuah pahala.
Ameen.